Skuad hoki bawah 21 tahun kebangsaan kendalian I Vikneswaran menamatkan saingan Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 di tempat tercorot selepas tewas 3-0 menerusi shoot out berdepan Jepun, selepas kedua-dua pasukan terikat 2-2 tamat 60 minit perlawanan penentuan tempat kelima-keenam di Stadium Hoki Taman Daya pada Sabtu.
Vikneswaran jelas kecewa dengan kekalahan pasukannya kerana berasa barisan muda negara sepatutnya merakam kemenangan berdepan Jepun pada Sabtu.
“Kesilapan pemain di penghujung perlawanan mengheret perlawanan ke shoot-out dan ia sebenarnya patut dielakkan jika pemain lebih bijak menangani perlawanan ini.
“Hoki adalah permainan 60 minit bukan 58 minit dan kerana itu pemain juga perlu bijak hadapi tekanan dalam perlawanan. Kesilapan mudah di penghujung perlawanan adalah tidak bagus dan kami harus menangani kelemahan ini,” kata Vikneswaran ketika sidang media pasca perlawanan.
Pukulan sudut penalti juga antara kelemahan yang akan diberi tumpuan menjelang saingan Piala Asia Remaja di Oman November depan. Ketika berdepan Jepun, skuad negara hanya menyempurnakan satu daripada 10 pukulan sudut penalti yang diraih.
“Pukulan sudut penalti perlu lebih baik dan ini juga antara kelemahan yang akan saya tumpukan selepas ini kerana amat penting untuk pasukan menyempurnakan pukulan sudut penalti,” tambah Vikneswaran.
Berbeza dengan aksi peringkat pusingan liga, kedua-dua pasukan tampak lebih berhati-hati dan cepat menutup ruang di kawasan sendiri, pendekatan ini ini tampak memberi kesukaran buat pemain serangan mereka menemui sasaran di suku pertama dan kedua.
Gol yang ditagih akhirnya kunjung tiba pada minit-33 apabila barisan negara meraih gol pendahuluan menerusi jaringan padang Aqilrullah Che Nur yang bijak mengambil kesempatan dia tas kealpaan benteng lawan.
Kegagalan skuad negara menambah gol biarpun meraih tujuh pukulan sudut penalti menyaksikan Jepun, meraih jaringan penyamaan menerusi jaringan padang Yuto Higuichi.
Malaysia kemudian kembali mendahului apabila akhirnya berjaya menyempurnakan pukulan sudut penalti menerusi Harris Osman pada minit ke-50.
Jepun kembali bangkit ketika perlawanan berbaki dua minit, apabila umpire perlawanan dari Sri Lanka Mohomead Nawshad memberi pukulan penalti strok kepada Jepun yang disempurnakan Jun Watanabe untuk mengheret perlawanan ke penalti shoot out.
Jepun menang penalty shoot out 3-0 apabila Higuichi, Jota Nakajima dan Yamato Kawahara menyempurnakan pukulan mereka manakala Harris,Aqilrullah dan Muhamamd Hadzalah gagal menyempurnakan pukulan shoot out buat Malaysia.