Home Sports Rakyat Malaysia diajak semarakkan Program JDT Puasa Challenge sepanjang PKP & Ramadan

Rakyat Malaysia diajak semarakkan Program JDT Puasa Challenge sepanjang PKP & Ramadan

JOHOR BAHRU, 25 April — Kerajaan negeri Johor mempelawa rakyat negara ini untuk melibatkan diri dalam sebuah program yang baru diperkenalkan iaitu Jomdotogether Puasa Challenge (JDT PUCHA) bagi membudayakan gaya hidup sihat sepanjang berlangsungnya tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Ramadan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia, Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata program diinspirasikan Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim itu merupakan usahasama dengan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kerajaan Negeri Johor.

Beliau berkata ia turut mendapat sokongan pelbagai pihak termasuk Majlis Sukan Negeri Johor, Majlis Belia Negeri Johor, Yayasan JDT, Tourism Johor, Sekretariat Sukan Malaysia (Sukma), Dewan Muda Johor (DMJ) serta Pusat Pembangunan Belia Johor (JOYDEC).

“Program ini (JDT PUCHA) menampilkan dua konsep utama iaitu Video Pendidikan Ringkas dan Social Media Challenge. Video Pendidikan Ringkas akan memaparkan video senaman bersama pemain JDT dan video perkongsian tips pemakanan sihat sepanjang bulan Ramadan yang berdurasi selama 20 minit.

“Video Pendidikan Ringkas ini akan mula dipaparkan dari 28 April hingga 15 Mei pada pukul 5 petang melalui laman media sosial Facebook Johor Southern Tigers,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Onn Hafiz berkata segmen Social Media Challenge pula adalah satu pertandingan video pendek berdurasi seminit yang memerlukan para peserta melakukan senaman dan memuat naik video mereka ke media sosial Instagram dan Facebook.

Beliau berkata peserta kemudiannya diminta untuk mencabar tiga lagi rakan mereka bagi melaksanakan cabaran yang sama dengan menggunakan hashtag #jomdotogether #PUCHA.

“Penyertaan Social Media Challenge yang terbuka kepada semua rakyat Malaysia ini telah bermula semalam (24 April) hingga 15 Mei. Pemenang akan diumumkan pada 20 Mei.

“Antara hadiah menarik yang disediakan adalah seperti telefon pintar, tajaan pakej percutian di resort bertaraf lima bintang di Johor berserta wang tunai hingga RM1,000,” tambah beliau.

Menurut Onn Hafiz, JDT PUCHA bakal menampilkan ikon anak jati Johor iaitu pelawak popular Shahrol Shiro dan peninju profesional negara, Farkhan Haron bagi memeriahkan program tersebut.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here