Skuad Hoki Bawah 21 Tahun negara gagal memulakan saingan Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 dengan langkah kanan apabila tumpas tipis 3-2 di tangan New Zealand dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya pada Sabtu.
Pengendali barisan muda negara, I Vikneswaran akui para pemain tidak memulakan permainan dengan baik tetapi tetap berpuas hati dengan kesungguhan pemain pada perlawanan ini.
“New Zealand memulakan perlawanan dengan lebih baik pada suku pertama, tetapi pemain-pemain pamer kesungguhan untuk bangkit setiap kali kami ketinggalan.
“Ini adalah aksi sulung buat mereka dalam sebuah kejohanan sebagai satu pasukan dan ia adalah kekalahan yang sukar tetapi kita perlu menerima keputusan ini dan belajar dariapdanya,” kata Vikneswaran ketika sidang media pasca perlawanan.
Barisan muda negara tidak memulakan perlawanan dengan baik apabila gagal membendung asakan awal New Zealand meraih gol seawal minit kelima menerusi pukulan sudut penalty yang disempurnakan Jonty Elmes.
Tersentak dengan jaringan itu, anak-anak buah Vikneswaran cuba meningkatkan tempo permainan di suku kedua dan berjaya meraih jaringan penyamaan menerusi pukulan sudut penalti Harris Osman pada minit pertama suku kedua.
Ketika perlawanan tampak seimbang, New Zealand dihadiahkan pukulan strok penalti oleh umpire, Jamie Telfer dan Elms menyempurnakan jaringan untuk gol kedua peribadinya pada minit -48 untuk pasukannya mendahului 2-1.
Adam Asharaf kembali mengikat kedudukan buat Malaysia pada minit ke-55 selepas menyempurnakan satu jaringan padang hasil gerakan serang balas pantas.
Namun, impian barisan negara merakam sekurang-kurangnya satu mata pada aksi pertama tidak kesampaian apabila Gas meraih gol ketiga dan berjaya merebut kemenangan untuk Black Sticks pada minit 56 untuk mengulangi kemenagan 3-2 ke atas Malaysia pada edisi SOJC tahun lalu.
Dalam aksi terdahulu India menewaskan Jepun 2-1 manakala Great Britain melakar kejutan apabila menewaskan naib juara tahun lalu, Australia dengan 3-1.