Skuad bawah 21 Tahun Kebangsaan kendalian I Vikneswaran terus dibelenggu kekalahan di saingan Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 apabila tumpas 4-2 di tangan India dalam aksi di Stadium Hoki Taman Daya pada Selasa.
Bagi Vikneswaran, dia tetap bangga dengan kelibat barisan pemainnya meskipun mereka gagal mengekalkan momentum perlawanan apabila mendahului India dengan 2-0 buat seketika.
“Saya akui kami beraksi hambar Ketika berdepan Jepun, tetapi hari ini para pemain memang berazam untuk melakarkan kejutan ke atas India dan tidak bermain secara bertahan. Cuma apabila kami mendahului 2-0, pemain tidak tahu apa yang perlu dilakukan.
“Ini hanya aksi ketiga buat kelompok pemain ini, mereka masih belajar dan perlu juga tahun cara untuk mengendalikan perlawanan dalam saat getir,apa pun saya yakin kami mampu jadi lebih baik selepas ini,” kata Vikneswaran ketika siding media pasca perlawanan pada Selasa.
Suku pertama menyaksikan barisan muda negara memulakan perlawanan dengan baik apabila berjaya mendahuli menerusi jaringan padang Muhammad Danish Aiman seawal minit kelapan. Selang seminit, skuad negara menambah gol kedua menerusi pukulan sudut penalti Harris Osman.
India kemudian bingkas bangkit menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Nand Tiwari Sharda minit 11 dan selang dua minit, pelawat meraih jaringan penyamaan dan kali ini menerusi jaringan padang Arshdeep Singh.
Selepas kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan di suku kedua, India tampil agresif di suku ketiga apabila mendahului menerusi jaringan padang Priyobarta Talem minit ke-39 dan belum sempat barisan negara bangkit, pelawat merakam gol keempat menerusi pukulan sudut penalti Rohit pada minit ke-40.
Kedua-dua pasukan gagal menambah jaringan pada suku keempat dan kedudukan 4-2 kekal sehingga wisel penamat perlawanan. Ini adalah kekalahan ketiga berturut-turut buat barisan muda negara.
Dalam dua aksi terdahulu pada Selasa, Australia menewaskan Jepun 5-1 dan New Zealand seri 1-1 berdepan Great Britain.