Home Sports TNB LHM 2020: UniKL, Maybank & TNB Kekalkan Momentum Kemenangan

TNB LHM 2020: UniKL, Maybank & TNB Kekalkan Momentum Kemenangan

KUALA LUMPUR, 12 JANUARI: Universiti Kuala Lumpur (UniKL) meneruskan rentak kemenangan dalam kempen TNB-LHM 2020 selepas mengatasi Hockademy KL 1-3 yang juga menyaksikan ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut musim ini.

Masih segar dengan kejayaan menjulang Piala Sumbangsih, Jumaat lalu, UniKL tidak berdepan kesukaran untuk atasi tentangan yang diberikan oleh Hockademy.

Jaringan daripada Muhammad Razie Abd Rahim, Roel Bovendeert dan Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin sudah memadai buat skuad kendalian Arul Selvaraj untuk mengutip tiga mata penuh.

“Tugas utama kami adalah mendapatkan tiga mata penuh dan kami berjaya laksanakannya. Ada beberapa perkara lagi yang kami perlu perbaiki, contohnya dalam perlawanan ini kami masih terikut-ikut rentak lawan,” jelas Arul.

Turut mengekalkan rentak kemenangan adalah pasukan Maybank selepas menewaskan Universiti Teknologi Mara HA (UiTM HA) 4-1.

Joel Samuel Van Huizen menyumbang dua jaringan manakala Muhammad Haziq Samsul serta Hafifihafiz Hanafi masing-masing menjaringkan satu gol bagi membantu kemenangan Maybank.

Terengganu Hockey Team (THT) pula peroleh kemenangan pertama mereka musim ini selepas membenam cabaran TNB Thunderbolts dengan keputusan 5-0.

Pemain Terengganu Hockey Team (THT), Jang Jong Hyun meraikan jaringan ketika pertemuan menentang TNB Thunderbolts.

Pemain import THT dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun membuktikan ketajaman penyudah apabila meledak hatrik yang berpunca daripada pukulan sudut penalti.

Faizal Saari serta Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee turut tidak ketinggalan untuk catat nama selaku penjaring dalam kejayaan THT hari ini.

“Apabila kami mendahului tiga jaringan dalam suku kedua permainan, kami mula memperlahankan rentak dan sepatutnya kami perlu menambah seberapa banyak jaringan khususnya melalui pukulan sudut penalti kerana ia (jumlah jaringan) bakal beri impak yang besar untuk kedudukan dalam liga,” jelas jurulatih THT, Muhammad Dharma Raj Abdullah.

Aksi tersebut turut menyaksikan pemain kedua-dua pasukan bertafakur selama seminit sebelum perlawanan masing-masing bagi memperingati pemergian bekas pemain THT, Allahyarham Syamiru Aiman Bidin yang meninggal dunia pada Ahad akibat penyakit kanser.

Allahyarham Syamiru, 28 tahun pernah mewakili THT pada 2013 hingga 2016 selain mewakili pasukan Terengganu untuk saingan Sukan Malaysia (Sukma) 2014. 

Dalam pada itu malang terus menimpa Kedah/Nurinsafi HT apabila sekali lagi kecundang di laman sendiri, kali ini tunduk 1-6 kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam pertemuan di Stadium Hoki Sungai Petani.

Pemain kebangsaan, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal serta Mohamad Akhimullah Anuar Esook masing-masing menjaringkan dua gol sementara dua lagi gol menerusi Muhamad Ramadan Rosli dan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan untuk membantu kemenangan kedua buat TNB manakala gol sagu hati Nurinsafi dijaringkan oleh Nur Rahull Hrsikesa Thaitchana Muruthi. 

NO COMMENTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here