PERODUA sekali lagi menjanjikan saingan badminton penuh aksi (Action Pack) apabila menganjurkan kejohanan berstatus Super 500 PERODUA Malaysia Masters 2024, 21 hingga 26 Mei ini.
Menjadi penaja utama kejohanan buat kali keenam, PERODUA Malaysia Masters 2024 kali ini terus menggamit dua juara ketika mereka mula menaja kejohanan ini, iaitu jaguh dari Denmark, Viktor Axelsen dan ratu badminton Thailand, Ratchanok Intanon.
Kedua-dua pemain perseorangan lelaki dan wanita utama dunia itu, meraih kejuaraan Malaysia Masters ketika Perodua mengambil alih kejohanan pada 2018.
Sebagaimana tahun lalu yang menyajikan aksi mendebarkan menerusi rali panjang dalam hampir setiap perlawanan, kejohanan ini yang bakal menjadi pemanas badan serta persiapan atlet ke Sukan Olimpik Paris, sekali lagi menjanjikan rencah saingan yang bermutu.
Meskipun hanya memegang status Super 500, dan berlangsung selepas berakhirnya tempoh kelayakan ke Olimpik Paris, PERODUA Malaysia Masters 2024 masih mampu menarik empat perseorangan dalam Top 10 dunia.
Kehadiran Axelsen sebagai pemain nombor satu dunia dan rakan sepasukannya, Anders Antonsen (4), Li Shi Feng dari China (7), Kunlavut Vitidsarn dari Thailand (8) serta Loh Kean Yew dari singapura (10).
Kehadiran ramai pemain ternama dunia ini tentunya menjadi peluang terbaik buat pemain harapan negara di Olimpik nanti, Lee Zii Jia mendapatkan perlawanan kompetitif sebelum temasya terbesar dunia itu berlangsung.
Kehadiran Axelsen tentunya menjadi tumpuan, terutamanya selepas juara dunia dua kali itu, belum meraih sebarang gelaran sepanjang tahun ini dengan pencapaian terbaiknya, ke separuh akhir Terbuka Malaysia dan Kejohanan Badminton Eropah.
Axelsen, 30, memenangi pingat emas Olimpik Tokyo dan gangsa di Rio de Janeiro tentunya mahu menjadikan PMM2024 medan kebangkitan, sekali gus mengulangi kenangan manis ketika menjuarai PMM2018 yang menyaksikan dia menewaskan Kenta Nishimoto 21-113, 21-23, 21-18.
Malah, Axelsen menerusi aplikasi ‘X’ berkongsi perkembangan terkininya dan mengesahkan akan beraksi pada PERODUA Malaysia Masters 2024, sekali gus mengembalikan kegemilangan kejohanan yang kehilangan pemain terbaik dunia itu pada edisi 2023 dan 2022.
Dalam pada itu, Ratchanok yang kini agak bergelut dengan prestasi apabila hanya memenangi satu kejuaraan, Spain Masters, tentunya mahu memperbaiki ranking dunianya yang kini di tangga ke-12, sebelum Temasya Paris bermula.
Namun tidak mudah untuk dia memburu kejuaraan kedua di PMM dengan kehadiran dua peman China, Han Yue (7) dan Wang Zhi Yi (9) selain Zhang Beiwen (10) dari Amerika Syarikat serta PV Sindhu dari India (14)