Dibawakan oleh PERODUA, acara badminton yang dinanti-nantikan iaitu kejohanan badminton PERODUA Malaysia Masters 2024 bakal membuka tirainya di Axiata Arena Bukit Jalil dari 21 hingga 26 Mei 2024 ini dengan sambutan hangat apabila tiketnya laris terjual terutama bagi pusingan suku akhir hingga akhir.
Penjualan tiket bagi kejohanan berstatus Super 500 itu mendapat respon positif terutamanya bagi kategori Platinum dan Premium, membuktikan PERODUA bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sememangnya bakal menjanjikan pertarungan sengit Top10 ranking dunia.
“Kita mendapat maklum balas luar biasa menerusi penjualan tiket kerana tiket Platinum dan Premium untuk perlawanan suku akhir, separuh akhir dan akhir laris dan berbaki tidak banyak untuk dibeli,” kata Presiden BAM, YBhg. Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza Zakaria, berkongsi perkembangan sambutan peminat badminton tanah air menjelang kejohanan.
Melihatkan perkembangan penjualan tiket terbabit, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza menasihati peminat badminton supaya membuat pembelian segera terutamanya pada tiga hari pertama.
“Saya harap peminat badminton turut tidak melepaskan peluang membanjiri Axiata Arena pada tiga hari pertama untuk menunjukkan sokongan kepada pemain negara.
“Inilah peluang untuk peminat menyaksikan persembahan pemain ternama dunia yang melakukan persiapan ke Olimpik Paris,” katanya lagi.
Sementara itu, Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza berkata, seramai 294 pemain dari 25 negara menghantar penyertaan untuk kejohanan PERODUA Malaysia Masters 2024 manakala 21 daripadanya adalah pemain di bawah BAM.
Menurutnya, meskipun pusingan kelayakan Sukan Olimpik Paris 2024 bagi badminton sudah berakhir, namun PERODUA Malaysia Masters tetap berjaya menarik penyertaan bintang dalam Top10 ranking dunia.
“Lima pemain Top10 perseorangan lelaki mengesahkan penyertaan, termasuk Viktor Axelsen dari Denmark (no.1), Anders Antonsen dari Denmark (no.4), Li Shi Feng dari China (no.7), Kunlavut Vitidsarn dari Thailand (no.8), dan Loh Kean Yew dari Singapura (no.10), selain pemain negara Lee Zii Jia (no. 11), akan bersaing merebut gelaran.
“Manakala dalam perseorangan wanita, tiga pemain Top10 diketuai Han Yue dari China (no. 7), Wang Zhi Yi dari China (no.9) dan Zhang Beiwen dari Amerika Syarikat (no.10), selain juara 2018 dari Thailand, Ratchanok Intanon (no. 11).
“Dalam beregu lelaki, bakal dicabar hebat Kim Astrup-Anders Rassmussen dari Denmark (no.4) dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik (no.5) selain He Ji Ting-Ren Xiang Yu dari China (no.11).
Beregu wanita bakal menyaksikan antara pemain Jepun Kie Nakanishi-Rin Iwanaga dari Jepun (no.13) dan pasangan negara Pearly Tan-M Thinaah (no. 14).
“Beregu campuran pula menyaksikan pasangan negara Chen Tang Jie-Toh ee Wei (no.9) dan Mathias Christiansen-Alehandra Boje dari Denmark (no.10), sebagai pilihan utama, menghangatkan lagi perebutan kejuaraan,” kata Tan Sri Dato’ Sri (Dr.) Mohamad Norza.
Pada edisi 2023, HS Pranoy dari India muncul juara perseorangan lelaki, Akane Yamaguchi dari Jepun (perseorangan wanita), Kang Min Hyuk-Seo Seung Jae dari Korea Selatan (beregu lelaki), Baek Ha Na-Lee So Hee dari Korea (beregu wanita) dan Dechapol-Sapsiree dari Thailand (beregu campuran).
Peminat masih boleh mendapatkan tiket di:
(https://www.ticket2u.com.my/event/35171/perodua-malaysia-masters-2024-presented-by-daihatsu)