Home Hockey S.Kumar Umum Persaraan Daripada Pentas Antarabangsa, Sertai KHM Sebagai Jurulatih Penjaga Gol

S.Kumar Umum Persaraan Daripada Pentas Antarabangsa, Sertai KHM Sebagai Jurulatih Penjaga Gol

Penjaga Gol Negara, S. Kumar hari ini mengumumkan persaraannya dalam satu sidang media di KHM dan sidang media tersebut turut dihadiri oleh Presiden KHM, Dato' Sri Subahan Kamal, Bekas Pemain Kebangsaan dan Ahli Jawatankuasa Kejurulatihan KHM, Datuk N. Sri Shanmuganathan, Ketua Pegawai Eksekutif KHM, Cik Norfaraha Hashim dan Jurulatih Penjaga Gol Kebangsaan, Roslan Jamaluddin.

KUALA LUMPUR, 20 FEBRUARI: Penjaga gol berpengalaman negara, S. Kumar hari ini mengumumkan persaraannya daripada pentas antarabangsa selepas 20 tahun menabur bakti kepada pasukan kebangsaan bermula tahun 1999.

Kumar yang telah mengumpul 321 caps bersama Malaysia bagaimanapun tidak akan mempersiakan setiap pengalaman dan ilmu yang dimilikinya apabila memilih untuk menyertai Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sebagai Jurulatih Penjaga Gol Kebangsaan dan fokus utama beliau pastinya untuk mengasah bakat barisan penjaga gol yang dimiliki selain membantu Skuad Remaja Lelaki Negara bersedia untuk ke Piala Remaja Asia (Lelaki) 2020 di Dhaka Bangladesh.

Perkara tersebut telah disahkan sendiri oleh Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal dalam satu sidang media khas yang diadakan hari ini di Bilik Mesyuarat KHM dan Dato’ Sri Subahan turut menambah setiap pengorbanan serta jasa yang diberikan oleh pemain yang telah lama bersama skuad negara ditambah dengan kebolehan istimewa yang mereka miliki tidak boleh dilupakan.

“Saya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan ingin mengumumkan bahawa kami telah merangka satu plan untuk menyerapkan pemain-pemain kebangsaan yang telah bersara namun kami masih memerlukan khidmat mereka selain mereka merupakan seorang yang berkaliber.

“Jadi kami telah membuat keputusan untuk mengambil S. Kumar sebagai Jurulatih Pelatih Penjaga Gol pasukan kebangsaan dan kontrak beliau bersama KHM akan berkuatkuasa serta merta selepas berakhirnya Piala TNB 2020 pada Sabtu ini.

“KHM juga akan membantu beliau untuk memastikan segala keperluan dari aspek kejurulatihan yang diperlukan dan Kumar akan bermula dengan membantu Skuad Remaja Lelaki Negara yang akan ke Piala Remaja Asia Lelaki di Dhaka selain memberikan seberapa banyak pendedahan yang boleh kepada beliau,” ujar Dato Sri Subahan.

Dalam perkembangan yang sama, Kumar berkongsi beliau pernah mengambil keputusan untuk bersara pada tahun 2015 tetapi selepas mengambil kira beberapa perkara beliau melupakan hasrat tersebut namun Kumar merasakan ini adalah fasa yang sesuai untuk dirinya membuat keputusan tentang kehidupannya dan hala tuju yang lain.

“Selepas Kelayakan Sukan Olimpik London, saya telah lama memikirkan untuk bersara kerana telah terlalu lama saya bersama pasukan negara dan sasaran saya untuk layak ke Sukan Olimpik dengan percubaan demi percubaan pada lima edisi terdahulu masih tidak berjaya, kini saya merasakan sudah tiba masanya untuk saya bersara daripada pentas antarabangsa.

“Sebagai pemain ia merupakan satu kekecewaan apabila tidak membuat penampilan di Sukan Olimpik tetapi saya percaya jika saya tidak ke Sukan Olimpik sebagai pemain mungkin saya boleh ke Sukan Olimpik sebagai jurulatih atau jurulatih penjaga gol bersama pasukan bimbingan saya.

“Saya juga memikirkan untuk melakukan perkara lain seperti selepas hoki. Saya perlu ke satu tahap yang lain seperti kejurulatihan selain memikirkan tentang masa depan hoki di mana kita memerlukan lebih ramai penjaga gol.

“Dengan barisan penjaga gol berbakat yang dimiliki negara, saya merasakan ini adalah masanya untuk membentuk mereka agar bersedia dalam tempoh empat atau lapan tahun akan datang. Jika ianya dimulakan dari sekarang, untuk jangka masa panjang ia sesuatu yang baik dan keputusan yang saya ambil ini adalah pada masa yang tepat.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Dato’ Sri Subahan atas peluang yang diberikan dan ini adalah masa terbaik untuk saya berkongsi ilmu serta pengalaman yang telah saya kutip sepanjang 20 tahun bersama pasukan Malaysia kerana saya tidak mahu menyimpan sendiri semua ilmu dan pengalaman itu,” jelas Kumar yang telah mencecah usia 40 tahun.

KHM turut memaklumkan sejurus kontrak Kumar bersama KHM berkuatkuasa, beliau akan dihantar untuk menghadiri Kursus Kejurulatihan (penjaga gol) Level dua yang akan berlangsung pada Kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh Perak bulan April ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here