Home Hockey Cabaran Sukar Buat Juara Bertahan Hadapi TNB Piala Tun Abdul Razak 2019

Cabaran Sukar Buat Juara Bertahan Hadapi TNB Piala Tun Abdul Razak 2019

(Dari kiri) Ketua Pasukan Perak, Shazrul Imran Nazli; Pengurus Pasukan Perak, Hakimi Abdul Hamid; Ketua Pasukan Wanita Kuala Lumpur, Nur Syafiqah Mohd Zain; Pengurus Pasukan Wanita Kuala Lumpur, Hebzibah Sudin sewaktu sidang akhbar kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak 2019.

KUALA LUMPUR (19 SEPTEMBER 2019): Pasukan Perak berdepan cabaran sukar dalam misi memburu gelaran kelima dalam tempoh enam tahun menjelang saingan TNB Piala Tun Abdul Razak 2019 yang akan membuka tirai pada 20 September (Jumaat).

Reputasi selaku juara bertahan pastinya memberikan sedikit tekanan kepada Perak apatah lagi pada edisi 2018, mereka perlu mengharungi penentuan shoot-out sebelum mengatasi Terengganu dalam aksi final Divisyen 1.

Ketua pasukan Perak, Shazrul Imran Nazli percaya dengan kemampuan yang dimiliki pasukannya kali ini meskipun ada beberapa pemain utama terlibat bersama skuad hoki kebangsaan untuk siri jelajah Korea bagi persediaan untuk perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“Sedikit kekurangan kepada kami disebabkan enam pemain menyertai skuad kebangsaan untuk ke Korea Selatan tetapi itu bukan penghalang untuk kami memberikan persembahan yang telah dipamerkan pada edisi sebelum ini.

“Kami masih mempunyai pemain senior untuk memberikan panduan kepada barisan pemain muda yang ketika ini berada di keadaan yang terbaik susulan persediaan hampir tiga minggu bersama,” jelas Shazrul.

Dalam pada itu, pasukan Kuala Lumpur juga waspada dalam misi mereka mempertahankan gelaran kategori Wanita tahun ini.

Kejayaan menewaskan Selangor pada edisi 2018 pastinya ingin dilakukan semula tetapi ketua pasukan, Nur Syafiqah Mohd Zain anggap setiap pasukan ada kekuatan tersendiri.

“Masing-masing ada kelebihan, khususnya buat pemain-pemain muda, mereka bermain banyak pertandingan. Kemungkinan mereka akan pamerkan aksi lebih baik dan itu satu kebaikan untuk mereka dan juga pemain senior,” ujar Nur Syafiqah.

TNB Piala Tun Abdul Razak 2019 dikelolakan oleh Persatuan Hoki Selangor dan semua perlawanan akan dilangsungkan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil dengan aksi final pada 28 September depan.

Di sebalik kebimbangan terhadap keadaan jerebu ketika ini, pengarah kejohanan, B. Shaji tegaskan keadaan pemain tetap menjadi keutamaan.

“Kami akan sentiasa memantau kualiti udara di sekitar kawasan stadium, sekiranya bacaan indeks pencemaran udara (IPU) melebihi tahao 200, kami akan mengambil langkah berjaga-jaga.”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here