Selepas tiga minggu berkelana di Eropah bagi menghadapi siri perlawanan ujian dan Kejohanan Jemputan Empat Negara, skuad negara hari ini menutup tirai jelajah dengan aksi ujian terakhir bertemu Belgium di Antwerp yang menyaksikan mereka tewas 0-8 kepada pasukan di ranking kedua dunia itu.
Tempoh tiga minggu tersebut menyaksikan Malaysian Tigers melalui sembilan perlawanan di mana enam merupakan aksi ujian dan tiga lagi adalah aksi di Kejohanan Jemputan Empat Negara. Jelajah ini turut digunakan oleh kem negara sebagai persediaan menjelang Perlawanan Kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang dijadualkan berlangsung hujung Oktober nanti.
Bagi aksi ujian terakhir yang berlangsung hari ini, tuan rumah, Belgium meledak lima gol menerusi pukulan sudut penalti dan tiga merupakan jaringan padang. Mengulas mengenai keputusan tersebut, pengendali negara, Roelant Oltmans telah menjangkakan dua pertemuan terakhir dengan Juara Piala Dunia 2018 itu akan menjadi satu perlawanan yang sukar.
“Pada separuh masa pertama, kami tidak bermain pada tahap yang terbaik tetapi apabila memasuki separuh masa kedua, kami berjaya memperbaikinya dan beraksi dengan lebih baik selain mendapat beberapa peluang terbaik untuk menghasilkan jaringan.
“Kami sedar dua perlawanan terakhir iaitu bertemu Belgium akan menjadi satu perlawanan yang sukar dan ianya nyata berlaku.
“Namun dalam masa yang sama kami dapat melihat apa yang perlu kami lakukan serta perbaiki dan kami mempunyai tempoh dua bulan setengah untuk melakukannya,” jelasnya ketika dihubungi.
Sebagai rekod, enam aksi ujian yang telah dilalui Malaysian Tigers berkesudahan dengan satu kemenangan ketika menewaskan Jerman 4-3 pada aksi di Krefeld Jerman dan lima kekalahan bermula dengan tewas 0-1 kepada Sepanyol di Terassa, tewas 4-6 dan 2-4 kepada Belanda di Breda, serta tewas 1-5 dan 0-8 kepada Belgium di Antwerp.
Sementara bagi Kejohanan Jemputan Empat Negara yang berlangsung di Terrassa, Sepanyol, skuad negara muncul juara selepas menewaskan Sepanyol 4-3, menundukkan Ireland 2-1 dan terikat seri 3-3 bersama England.Malaysian Tigers dijangka tiba di Malaysia esok jam 3.00 petang dan akan terbang ke Tokyo Jepun pada Rabu jam 12 tengah hari bagi menghadapi Kejohanan Ujian Sukan Olimpik Tokyo 2020 “The Ready Steady Tokyo Hockey Test Event” yang akan bermula 17 hingga 21 Ogos ini di Stadium Hoki Oi, Tokyo Jepun.