KUALA LUMPUR, 22 JANUARI: Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus menerajui saingan TNB Liga Hoki Malaysia (TNB LHM) 2020 selepas bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Terengganu Hockey Team (THT) 4-2 dalam pertemuan yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil pada Rabu.
Skuad kendalian Nor Saiful Zaini Nasiruddin yang masih belum tewas dalam empat perlawanan sebelum ini turun dengan motivasi tinggi dan ingin mengekalkan rentak berkenaan.
Selepas aksi seimbang dalam suku pertama perlawanan, THT terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi gol padang Faizal Saari pada minit ke-18.
TNB bangkit memberikan tentangan dan 10 minit berselang mereka mengikat kedudukan hasil pukulan sudut penalti Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan.
Perlawanan semakin rancak selepas itu dan dalam suku ketiga giliran TNB untuk berada di depan apabila Muhammad Shahril Saabah menjaringkan gol hasil gerakan padang.
Tiga mata penuh menjadi pasti buat TNB apabila Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal dan Mohamad Akhimullah Anuar Esook menambah dua lagi jaringan, masing-masing pada minit ke-49 dan 52 di sebalik satu lagi jaringan THT menerusi Faizal pada minit ke-55.
“TNB bermain dengan baik hari ini, saya amat berpuas hati kerana apa yang dirancangkan sebelum perlawanan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
“Kali ini kami manfaatkan peluang jaringan yang dicipta dan saya harap momentum kemenangan ini dapat diteruskan walaupun tempoh rehat seminggu,” jelas Nor Saiful.
Dalam pada itu, Universiti Kuala Lumpur (UniKL) turut mengekalkan rekod seratus peratus kemenangan selepas mengatasi Kedah/Nurinsafi HT dengan keputusan 3-0 di Stadium Hoki Sungai Petani.
Juara Piala Sumbangsih itu membuka tirai jaringan menerusi gol padang tonggak import mereka, Roel Bovendeert pada minit ke-13.
Bagaimanapun UniKL terpaksa menunggu hingga suku ketiga untuk menambah jaringan, kali ini hasil pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abdul Rahim sebelum Muhammad Najmi Farizal Jazlan lengkapkan kemenangan UniKL dengan jaringan ketiga pada minit terakhir perlawanan.
“Satu lagi kemenangan buat UniKL seterusnya mengutip tiga mata yang cukup berharga, pasukan lawan bermain dengan baik untuk menyekat peluang kami daripada mendapatkan jaringan,” ujar pengendali UniKL, Arul Selvaraj ketika dihubungi.
Perlawanan lain menemukan Maybank dan TNB Thundebolts dengan keputusan 3-2 memihak kepada Maybank.
Muhammad Haziq Samsul memberikan pendahuluan seawal minit kedua buat Maybank menerusi pukulan sudut penalti sebelum dia peroleh jaringan peribadi kedua, kali ini menyempurnakan penalty stroke pada minit ke-36.
Joel Samuel Van Huizen kemudian meletakkan Maybank di kedudukan selesa pada minit ke-48 dengan jaringan ketiga.
Gol Thunderbolts pula diperolehi menerusi Muhammad Faiq Nazwan Mohd Azhar serta Muhammad Fahmi Khalid.
Kemenangan ini menyaksikan Maybank memintas THT untuk menduduki tangga ketiga liga dengan mengumpul 12 mata daripada 5 perlawanan.
Satu lagi perlawanan menyaksikan UiTM kecundang kepada Hockademy KL dengan keputusan tipis 0-1 hasil gol tunggal perlawanan yang dijaringkan oleh Riaz Rana Suhail.