PUTRAJAYA, 9 JUN 2020 – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia
(KKMM) telah menubuhkan Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM)
sebagai satu platform bagi Kerajaan membincang dan mendapatkan input daripada
semua pemegang taruh (stakeholders) dalam merencanakan pendekatan dan dasar
bagi isu-isu komunikasi dan multimedia. Pendekatan MPKM ini juga turut melibatkan
penyertaan dari masyarakat madani yang mempunyai peranan langsung ke atas
pembangunan negara.
Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia ini akan dipengerusikan oleh YB
Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan dianggotai oleh 15 ahli (senarai
nama dilampirkan bersama) yang merangkumi pengurusan tertinggi KKMM,
wakil-wakil dari masyarakat sivil, ahli akademik, badan pemikir, pakar sesuatu bidang,
badan profesional, badan perniagaan dan sebagainya. Ahli-ahli MPKM yang dilantik
adalah bersandarkan kepada pengalaman, kemahiran dan kepakaran ahli berkenaan
selaras dengan fungsi utama KKMM.
Penubuhan MPKM adalah selari dengan maklamat KKMM ke arah memacu
kecendekiaan (intelligence) dalam masyarakat. Ia juga seiring dengan visi
kementerian, iaitu melahirkan masyarakat terhubung, berinformasi, kreatif dan
berbudaya digital. Manakala segala undang-undang, dasar-dasar dan
program-program kementerian adalah wahana untuk mencapai matlamat tersebut.
KKMM juga akan membuka peluang kepada semua anak muda warganegara
Malaysia di seluruh dunia berumur di antara 18 hingga 30 tahun untuk
menyumbangkan idea dan cadangan melalui program “Ideas4KKMM” bagi
penambahbaikan Pelan Strategik KKMM 2019-2023. Program berbentuk
pertandingan ini merupakan salah satu usaha Kementerian untuk menggalakkan
sumbangan idea dalam kalangan masyarakat bagi meningkatkan sistem
penyampaian Kementerian. 10 idea terbaik akan dipilih untuk hadiah istimewa dan
dijemput ke sesi perbincangan khas bersama YB Menteri Komunikasi dan Multimedia
Malaysia. Penyaluran idea boleh dikemukakan melalui laman sesawang KKMM
https://www.kkmm.gov.my/awam/ideas4kkmm.