Home Football SARAWAK UNITED RANGKA PELAN PEMBANGUNAN 5 TAHUN

SARAWAK UNITED RANGKA PELAN PEMBANGUNAN 5 TAHUN

Langkah transformasi liga Malaysia yang direncanakan oleh FAM & MFL khususnya bagi penswastaan kelab yang sudah selesai pada tahun 2020 membolehkan setiap pasukan menjadi lebih professional dan telus baik di dalam padang mahupun melibatkan urus tadbir pengurusan dan kewangan.

Sarawak United Football Club (SUFC) menyahut cabaran di dalam penswastaan kelab dengan melancarkan Blueprint atau Pelan Pembangunan yang akan menjadikan SUFC sebagai sebuah kelab professional bukan sahaja untuk mencabar kejuaraan tetapi turut memastikan pengurusan yang cekap serta membawa keuntungan kepada kelab.Presiden SUFC, Dato Posa Majais berkata, “Mereka yang terlibat bagi menghasilkan Blueprint ini terdiri daripada pakar tempatan dan antarabangsa, Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kerajaan Negeri Sarawak dan pandangan daripada peminat setia bagi membolehkan kelab mempunyai sebuah pelan pembangunan yang akan menjadi panduan bagi tahun 2021-2025”.

Pelan Pembangunan yang realistik ini akan merangkumi pasukan utama yang akan beraksi di Liga Perdana 2021, skuad Piala Presiden dan Piala Belia. Ia juga akan meliputi program pembangunan jurulatih di semua peringkat, menyemarakkan aktiviti bola sepak di peringkat akar umbi yang merangkumi 11 divisyen serta pembentukan Akademi Bolasepak SUFC.Bagi melaksanakan program tersebut, SUFC telah mengambil keputusan untuk melantik B. Sathianathan selaku Pengarah Teknikal SUFC Sdn. Bhd.

Sathianathan akan bertugas di Kuching dan bertanggungjawab di dalam melahirkan lebih ramai kelompok pemain, jurulatih dan kakitangan sokongan teknikal. Beliau akan membentang segala keperluan infrastruktur yang diperlukan sebelum dinaikkan pangkat sebagai Pengarah Bolasepak sambil anak jati Sarawak akan mengambil alih tugas beliau selaku Pengarah Teknikal.

Kunci kejayaan sesebuah kelab adalah kemampuan untuk menjana pendapatan, dan Pelan Pembangunan ini turut menekankan aspek Penajaan, Pemasaran & Pembangunan Perniagaan. Indeks Prestasi Utama (KPI) telah ditetapkan dengan sasaran kelab mampu menjana kewangan sendiri pada tahun 2024 dan membolehkan para pemegang taruh menerima pulangan pelaburan pada tahun berikutnya.

SUFC juga berharap strategi baharu untuk menarik tajaan dan rakan rasmi membuahkan hasil kerana manfaat untuk para penaja bukan sahaja melibatkan kelab tetapi turut akan meliputi pelbagai aktiviti menarik di lapangan. “Kami mempunyai sokongan yang padu dari para penyokong dan kami akan memastikan para penaja dan rakan rasmi dapat pendedahan bukan sahaja di dalam padang tetapi juga di luar padang”, tambah Dato Posa Majais.Dato Posa yang merupakan anak jati Sarawak turut memahami segelintir peminat yang mahukan agar jawatan penting di dalam kelab diisi oleh orang tempatan.

“SUFC menyedari bahawa bola sepak sudah menjadi satu industri baharu. Jadi ia memerlukan sedikit masa untuk kita mempelajari selok belok industri ini. Maka, kita perlu melantik mereka yang pakar seperti B. Sathianathan sebagai Pengarah Teknikal”.SUFC juga akan melantik seorang lagi anak jati Sarawak selaku Ketua Pegawai Eksekutif pada Mei 2021 sementara Naresh Nair dilantik selaku Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif buat masa sekarang.

Dato Posa Majais menambah, “Kerajaan Negeri melalui Ketua Menteri, YAB Tun Haji Abang Johari bin Haji Abang Openg sentiasa menyokong Sarawak FA sebelum bertukar kepada Sarawak United FC. Beliau sering terlibat dengan siri perbincangan bola sepak di negeri ini dan sentiasa menunjukkan komitmen untuk membantu SUFC mencapai kejayaan.

Ketua Menteri juga sedar rakyat Sarawak begitu cintakan bola sepak serta menjadi teras kepada perpaduan rakyat di negeri ini. Kami juga akan meneruskan hubungan baik dengan Menteri Pelancongan, Seni, Budaya, Belia & Sukan Sarawak, YB Datuk Haji Abdul Karim Rahim Hamzah mengenai kepentingan perlaksanaan Pelan Pembangunan SUFC 2021-2025”.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here