Home Local Perpaduan adalah tunjang kemajuan negara

Perpaduan adalah tunjang kemajuan negara

DYAM Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja bertitah menegaskan bahawa negara hanya boleh maju jika rakyatnya bersatu-padu.

Baginda bertitah, segala usaha ke arah perpaduan rakyat mesti disokong, asalkan niat itu adalah demi memperbaiki sebarang kelemahan ke arah memajukan negara. “Saya mahukan negeri yang maju, dengan rakyatnya hidup senang, kualiti perkhidmatan pendidikan dan perubatan yang lebih baik, serta kerajaan yang prihatin dalam menjaga rakyat. “Tapi bagi mencapai semua itu, kita mesti bersatu-padu, dan untuk itu, kita mesti memupuk perkara paling utama – iaitu sikap kemanusiaan seperti saling menghormati antara kita semua tak kira kaum atau agama. Perpecahan tidak akan membawa apa-apa manfaat kepada kita,” titah Baginda.

Tunku Mahkota Ismail bertitah demikian pada sesi soal jawab bersama kira-kira 3,000 belia yang menyertai Kongres Belia 2019 di Persada, Johor Bahru, hari ini (15 September). Bertema, “Hala Tuju Pertubuhan Belia Malaysia”, kongres itu menjadi platform penting bagi kepimpinan belia serta pemegang taruh bersama-sama berinteraksi dan membina rangkaian kerjasama demi manfaat semua.

Antara perkara yang dibincangkan termasuk cabaran yang dihadapi pertubuhan belia, peranan yang dapat diambil oleh pemegang taruh belia serta penyediaan ekosistem sokongan untuk pembangunan dan kelestarian belia berpertubuhan yang akan menerima impak besar akibat pindaan Akta Rang Undang-Undang (RUU) 668 tahun 2019.

Pada majlis itu, Tunku Mahkota Ismail turut berkenan menerima resolusi daripada Majlis Belia Malaysia (MBM) yang mengandungi 11 perkara berhubung hala tuju pertubuhan belia negara.Kongres itu dianjurkan MBM dengan kerjasama Majlis Belia Negeri Johor.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here