ISKANDAR PUTERI, 17 Mac – Satu sidang media berkenaan penganjuran Sirkit Remaja Johor (SRJ) 2022 yang dihadiri oleh YBhg Tuan Hj ‘On bin Jabbar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Sukan, Belia dan Sukarelawan) yang kemudiannya menyampaikan penerangan kepada pihak media yang hadir telah diadakan di Sekretariat Sukma, Nusajaya, pagi tadi.
Majlis Sukan Negeri Johor menerusi Bahagian Pembangunan Sukan dengan kerjasama Majlis Sukan Daerah dan Persatuan-persatuan Sukan Negeri Johor akan meneruskan penganjuran Sirkit Remaja Johor bagi edisi 2022 dengan memfokuskan kepada lima jenis sukan iaitu memanah, kanu, silat, wushu dan petanque.
Penganjuran edisi tahun 2022 merupakan kesinambungan penganjuran SRJ edisi pertama yang diadakan pada tahun 2018. SRJ 2022 akan bermula pada Mac hingga Ogos 2022.
Siri 1 – fasa 1 akan bermula pada 25-26 Mac 2022 di Muar dengan melibatkan sukan memanah dan kanu manakala fasa 2 akan bersambung pada 27-28 Mei 2022 di Bandar Penawar dan mempertandingkan sukan wushu, silat dan petanque.
Bagi siri kedua akan dilaksanakan pada 1 dan 2 Julai 2022 di Batu Pahat dan siri ketiga akan berlangsung pada 12 dan 13 Ogos 2022 dengan mempertandingkan kelima-lima jenis sukan.
MSNJ mensasarkan seramai 2400 penyertaan atlet pembangunan berusia 16 tahun ke bawah terutama atlet di dalam program GOLD Johor dan atlet-atlet yang terdapat di semua daerah di Johor samada di bawah Majlis Sukan Sekolah Daerah atau kelab-kelab di Daerah.
Turut bersama-sama pada sidang media tersebut adalah Tuan Nor Syazlan bin Abd Razak, Pengarah MSNJ ,En. Mohd Hadi bin Abidi, Penolong Pengarah MSNJ, En. Muhammad Fauzi bin Bahren, Ketua Unit Majlis Sukan Daerah MSNJ.