Home Hockey Debaran 4 Pasukan Memburu Tempat Ke Final TNB Piala Tun Abdul Razak...

Debaran 4 Pasukan Memburu Tempat Ke Final TNB Piala Tun Abdul Razak 2019

(Dari kiri) Ketua Pasukan Melaka, B. Namasivayam; Penolong Ketua Pasukan Kuala Lumpur, Mohamad Amirol Aideed Mohd; Ketua Pasukan Terengganu, Mohamad Shahrun Nabil Mohd dan Penolong Ketua Pasukan Johor, Muhammad Firdaus Fauzi bersama trofi kejohanan.

KUALA LUMPUR (25 SEPTEMBER 2019):  Pasukan Terengganu tidak akan mengambil mudah cabaran yang bakal diberi oleh Johor menjelang aksi separuh akhir Divisyen 1 saingan TNB Piala Tun Abdul Razak 2019, Jumaat ini.

Kali terakhir mengecapi kejuaraan pada 2016, Terengganu kemudian dikecewakan Perak di final bagi dua edisi berturut-turut dan ketua pasukan Terengganu, Mohd Shahrun Nabil Abdullah mahu memadam kekecewaan berkenaan.

Begitupun dia akui lawan yang menanti di separuh akhir, Johor sebagai pasukan yang punyai kekuatan tersendiri.

“Kami tetap akan berusaha untuk ke final sekaligus memburu kejuaraan selepas dua kali tewas kepada Perak pada 2017 dan 2018.”

“Hanya berlatih selama seminggu bagi kejohanan ini, saya lebih utamakan persefahaman yang baik di kalangan rakan sepasukan bagi mengatasi Johor,” jelas Shahrun Nabil pada sidang media menjelang aksi separuh akhir pada Rabu.

(Dari kiri) Ketua Pasukan Melaka, B. Namasivayam; Penolong
Ketua Pasukan Kuala Lumpur, Mohamad Amirol Aideed Mohd; Presiden
Persatuan Hoki Selangor (SHA), Ganesh Shanmugam; Ketua Pasukan
Terengganu, Mohamad Shahrun Nabil Mohd dan Penolong Ketua Pasukan Johor,
Muhammad Firdaus Fauzi pada sidang media menjelang separuh akhir TNB
Piala Tun Abdul Razak 2019.

Dalam pada itu, penolong ketua pasukan Johor, Muhammad Firdaus Fauzi harap momentum yang dibawa pasukannya dapat diteruskan bagi buru tempat ke final.

“Kami tidak menjangka mampu mara ke separuh akhir kerana kami dibarisi pemain muda, ini satu pencapaian yang sangat baik dan kami harap dapat pergi sejauh yang mungkin tetapi tidak dinafikan Terengganu adalah pilihan,” ujar Firdaus.

Satu lagi pertemuan separuh akhir menyaksikan Melaka berdepan bekas juara 18 kali, Kuala Lumpur.

Meskipun dibarisi pemain muda dalam kempen kali ini, ketua pasukan Melaka, B. Namasivayam percaya ia bukan penghalang untuk mereka beri saingan kepada Kuala Lumpur.

“Kuala Lumpur pasukan yang bagus, mereka cepat membentuk persefahaman kerana telah biasa beraksi bersama.

“Bagi kami, pasukan mana yang mampu manfaatkan peluang akan memenangi perlawanan dan itu yang kami mahu lakukan menjelang aksi Jumaat ini,” menurut Namasivayam yang pernah tiga kali menjuarai saingan TNB Piala Tun  Razak.

“Persediaan kami amat baik, tiada masalah kecederaan dalam pasukan tetapi kami masih mencari aspek taktikal yang sesuai bagi berdepan Melaka,” jelas penolong ketua pasukan Kuala Lumpur, Mohamad Amirul Aideed Mohd.

Turut hadir dalam sidang media berkenaan adalah Presiden Persatuan Hoki Selangor (SHA), Ganesh Shanmugam selaku penganjur saingan TNB Piala Tun Abdul Razak 2019.

“Setakat ini penganjuran kejohanan berjalan lancar, ia memberi manfaat kepada pembangunan pemain khususnya di Selangor dan kami hargai segala bantuan yang telah diberikan oleh penaja terutamanya TNB dan juga kerjasama oleh Konfederasi Hoki Malaysia (KHM),” ujar Ganesh.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here